|
Artikel
Majalah RIAS - No. 1
Majalah RIAS - Julai 1999
Ruangan Kecantikan
COLOUR VIBRATION THERAPY:
Rawatan Alternatif 2000
Oleh: Azimah Omar
Masih ingat
lagi akan petua orang tua-tua apabila seseorang itu menghidap beguk di leher?
Biasanya bahagian bengkak di leher akan di sapu nila (sejenis bahan pewarna
kebiruan diguna untuk memutihakan kemeja putih) dan dua tiga hari kemudian
bengkak tersebut akan hilang. Ramai mengaku bahawa nila sebagai ubat alternatif
lebih berkesan, murah dan mudah daripada antibiotik dalam mengatasi masalah
beguk ini?
Apa sebenarnya
kehebatan nila dalam penyembuhan penyakit tersebut? Mungkinkah wujud perkaitan
rapat antara warna dan tubuh anda?
Menurut
Dr.Norhisham Wahab pensyarah kinesiologi gunaan, hal ini boleh dijelaskan
menerusi pendekatan Terapi Getaran Warna atau Colour Vibration Therapy. "Warna
memainkan peranan penting dalam menyembuh, memberi tenaga dan menyeimbangkan
tenaga pada tahap-tahap tubuh yang berbeza. Setiap elemen kimia dan benda-benda
hidup di dunia ini mempunyai ciri-ciri rajah tenaga warnanya tersendiri. Ini
termasuk tubuh badan anda dimana bahagian kepala dinaungi warna-warna lembayung
di mana putih diibaratkan kunci mahkota kepada segala warna," terang Dr.
Norhisham.
Dr. Norhisham
juga merupakan seorang saintis, pakar kinesiologi serta pengasa perubatan Terapi
Getaran Cahaya (Colour Vibration Therapy) yang pertama di Malaysia. Beliau
merupakan lulusan Open International University, Jerman. (Kinesiologi digunakan
dalam bidang perubatan tradisional sebagai satu kaedah yang sangat berkesan
dalam mengenal pasti dan membetulkan tekanan serta ketidakseimbangan dalam
badan.Ini dilakukan menerusi ujian otot bio-maklum balas atau muscle testing
bio-feedback).
Kinesiologi
diguna secara meluas di luar negara. "Pengamal kinesiologi tidak perlu
bertanya pada pesakit mengenai penyakitnya, hanya dengan mengenal pasti punca
melalui simptom yang dialami pesakit. Sebenarnya perkataan ‘penyakit’ itu
sendiri tanpa disedari boleh melemahkan sistem imunisasi seorang pesakit dan
menyukarkan penyembuhan," kata Dr. Norhisham.
Seterusnya Dr.
Norhisham berkata bahagian leher diliputi warna kebiru-biruan yang menjadi
kawalan sistem immune tubuh anda dari serangan virus. Dan warna ini akan
terganggu apabila seseorang itu menghidap penyakit seperti beguk maka, nila
digunakan bagi mengembalikan warna biru yang terganggu di bahagian ini, jelas
Dr. Norhisham. Warna hijau segar meliputi dari bahagian dada hingga pangkal
perut yang mengawal perasaan, sementara warna kuning meliputi bahagian perut.
Bahagian pinggul pula dilingkari warna merah.
Sambungnya lagi,
warna merah lebih sesuai dipakai pada bahagian pinggang ke bawah dan bukan
sebaliknya. Begitu juga dengan pemakaian inai di jari dan kadangkala di tapak
tangan atau kaki pengantin dikatakan boleh merangsang getaran hormon kesuburan
lelaki dan wanita.
Warna merah
sering dikaitkan dengan warna penyakit kerana itulah orang tua-tua menyuruh kita
masuk ke dalam rumah ketika menjelang malam (maghrib) kerana langit ketika itu
berwarna kemerah-merahan atau warna amaran. Jika begitu, mesej apakah yang ingin
anda sampaikan apabila memakai blaus merah?
Terapi Getaran
Warna: Merawat dan Penyeri Wajah
Terapi Getaran Warna atau Coloru Vibration Therapy dikatakan kaedah rawatan
kesihatan dan kecantikan yang pertama diperkenalkan di negara ini. Ia boleh
dianggap sebagai kaedah rawatan terkini alaf 2000 kerana ia berkesan, murah dan
tiada kesan sampingan serta boleh mengubat pelbagai penyakit termasuk barah dan
ketagihan. Terapi ini amat terkenal di negara-negara Barat yang maju malah, Dr.
Norhisham pernah cuba memperkenalkan barangan seumpamanya buatan England disini.
Namun usaha ini tidak berkesan apabila beliau menyedari bahawa rumusan yang
digunakan tidak sesuai dengan geografi negara ini.
Hari ini, Dr.
Norhisham telah menghasilkan rumusan Terapi Getaran Warna dengan memerangkap
tenaga getaran tumbuh-tumbuhan tempatan menerusi teknologi canggih dimakmal
German Malaysian Scientific Ideas (GMSI), Kuala Lumpur. Himpunan barangan
rawatan Terapi terdiri daripadaa 20 botol ‘butir gula tebu’ dengan rumusan
getaran warna pelbagai tahap untuk bahagian anggota tubuh tertentu, sebotol
minyak aromaterapi dan sebotol kecil pencuci wajah.
Butir-butir
gula tebu ini mengandungi getaran tenaga warna pelbagai tahap yang diperangkap
secara saintifik bagi merawat dan menyeimbangkan tenaga dalam tubuh yang
terjejas akibat sesuatu penyakit. Anda hanya perlu kemam ‘gula tebu’ diatas
mengikut arahan pengamal terapi secara tetap dan penyembuhan bergantung kepada
tahap penyakit anda. Mudah bukan?
Getaran Tenaga
dan Warna
Dunia di antara dua cahaya atau sempadan warna sebenarnya diukur dalam Islam
sebagai ‘peralihan waktu sembahyang’. Waktu-waktu peralihan ini adalah
permulaan cahaya-cahaya baru dengan warna mulai terbentuk. Penyembuhan atau
penyakit paling aktif berlaku dalam tempoh ini, contoh subuh dan menjelang malam.
Maka warna adalah kuasa rawatan yang amat berkesan kerana tubuh anda diselubungi
dan dipenuhi dengan tahap-tahap meridian kuasa warna ‘pelangi’ yang paling
menakjubkan.
Jika anda
mengalami gangguan tiroid, waktu paling berkesan untuk kemam ‘gula tebu’
ialah antara 6.00 hingga 7.30 pagi di mana langit berwarna kebiru-biruan, warna
bahagian kerongkong.
Sambung Dr.
Norhisham, "Setiap orang mempunyai tahap getaran tenaga yang tersendiri,
sama ada tinggi atau rendah. Setiap orang juga dapat mengawal tahap getarannya
bagi menyamai tenaga orang yang sedang bercakap dengannya agar perbualan
berjalan lancar. Pemikiran positif pula memberi tahap tenaga getaran yang tinggi,
begitu juga sebaliknya".
Sementara
penyakit merupakan tenaga getaran yang rendah. Untuk mengembalikan tahap getaran
yang tinggi, anda perlu ceria, bersyukur dan yakin dengan kehidupan. Kini anda
pasti faham kenapa tukang andam sering menyuruh pengantin supaya mengunyah sirih
ketika bersanding bagi mengatasi perasaan gemuruh, degupan jantung yang kencang!
(Bahagian jantung dinaungi warna hijau).
Tumbuhan dan
Tubuh Anda
Kepesatan hidup moden membuatkan kehidupan hari ini serba sukar, menyebabkan
ramai yang dilanda tekanan perasaan atau ketidakharmonian perasaan. Setiap satu
bentuk ketidakharmonian akan mengundang satu penyakit tetapi tidak kepada
tumbuhan. Tumbuhan walaupun dicemari tetap dapat menyesuaikan diri dengan alam
sekitar untuk terus hidup dengan penuh bertenaga.
Maka tidak
hairanlah jika tumbuhan diperlukan untuk menstabilkan ketidakharmonian dalaman
yang anda alami. Sumber tenaga wajib dicari dan dimanafaatkan sebagai pengganti
kepada tenaga yang telah bersatu didalam tenaga tumbuh-tumbuhan.
Cahaya dan
warna merupakan nadi kehidupan, tanpa cahaya, kehidupan tidak dapat diteruskan.
Tenaga daripada cahaya yang disimpan oleh tumbuh-tumbuhan akhirnya diguna
sebagai makanan oleh manusia untuk hidup. Adalah dipercayai frekuensi warna sel
tumbuhan dinilai sama dengan frekuensi warna sel tubuh anda. Sebab itulah warna
memainkan peranan amat dalam menyeimbangkan sel untuk penyembuhan penyakit.
Pelbagai
bencana dan pencemaran alam memusnahkan tumbuh-tumbuhan namun bagai ada suatu
kuasa yang penuh bertenaga, ia terus hidup. Ini ialah cara semulajadi serta
merupakan kekuatan tumbuh-tumbuhan. Maka anda boleh memanfaatkan tumbuhan
sebagai penyelesai bagi kekurangan imuniti yang menjadi punca penyakit kepada
seseorang.
Contoh,
bunga-bunga kecil yang tumbuh meliar di kawasan pergunungan atau tanah tinggi
mempunyai getaran tenaga yang amat kuat dan sesuai untuk mengembalikan tahap
kerohanian seseorang ke tahap normal. Namun, getaran tenaga yang dapat
diperangkap ini hanya sesuai dan berkesan dengan mereka yang tinggal di kawasan
tersebut. Ini bermakna sumber rawatan kecantikan dari pergunungan Swiss tidak
mungkin sesuai dengan penduduk Malaysia.
Terapi Getaran
Warna
Getaran tenaga ditentukan oleh warna sebagai ukuran ketetapan bagi keperluan
tenaga yang harus diganti semula. Misalnya, jika organ hati anda rosak atau
dijangkiti kuman atau dibebani toksin bermakna frekuensi getaran warna sel organ
tersebut telah tidak seimbang. Maka getaran warna dengan frekuensi yang tepat
sebagai penstabil diperlukan serta-merta bagi membuang bahan asing yang tidak
sepatutnya berada disitu.
Getaran ini
ibarat rangka atau sistem yang akan merawat sel yang berada pada paras tenaga
yang terlalu tinggi atau terlalu rendah. Rumusan Terapi Getaran Warna membentuk
keseimbangan secara serta-merta pada bahagian-bahagian tubuh yang sakit (atau
tidak seimbang) pada setiap tahap tubuh.
Semua unsur
kimia dengan struktur atom yang longgar bergetar pada frekuensi yang tidak tetap.
Apabila pengimbang tenaga Terapi Getaran Warna diguna menerusi penerimanya (kulit)
maka pineal (otak) anda mula menganalisis untuk menerima dan menghubungkan
semula ke bahagian sasaran yang tidak seimbang. Bahagian tubuh yang lemah boleh
diuji di bahagian titik akupuntur dengan alat penguji pengimbang tenaga
rintangan elektrik. Hasil ujian akupuntur menunjukkan keseimbangan serta-merta
pada bahagian terjejas.
Bagi memastikan
anda sentiasa berada dalam getaran tenaga yang tinggi, anda perlu tenang dan
yakin dengan diri anda. Keresahan perlu dielakkan kerana ia menimbulkan
keracunan atau bebanan toksin kepada blok dalam sistem limpa dan sistem saraf.
Begitu juga dengan segala perasaan negatif atau perbuatan buruk seperti
penyesalan, dengki khianat dan buruk sangka boleh mencetus satu tenaga asing
dalam badan seterusnya, mendatangkan penyakit kepada anda.
Mandi Bunga
Tenaga Terapi Getaran Warna dicipta daripada tenaga tumbuh-tumbuhan yang
diperolehi daripada matahari dan cahaya balikan bulan. Petiklah bunga dengan
warna keseimbangan penyakit yang anda alami. Rendam dalam air untuk merakamkan
tenaga yang akan dipecahkan dalam bentuk getaran gelombang. Tenaga bunga yang
sudah dipindahkan ke dalam air itu amat berkait rapat dengan misteri mandi bunga
yang menjadi amalan pelbagai budaya di seluruh pelosok dunia.
|