|
Artikel
Mingguan Wanita - No. 1
Oktober 1999
Ruangan Kecantikan
Bermain Warna dan Getaran
Oleh: Laila Halilah Nasir
Mengenali warna
diri, sebenarnya anda mula mengenali
personaliti anda yang sebenar – Dr. Norhisham Wahab.
Bolehkah kita merawat penyakit dengan
warna? Persoalan ini
sudah lama bermain difikiran saya. Kebetulan pula mendapat jemputan daripada Dr.
Norhisham Wahab yang mempunyai Klinik Colour Vibration Therapy, ini bermakna
segala kemusykilan akan terjawab. Seperti yang telah saya duga setelah
menghabiskan hampir 2 jam bersama, jawapan yang saya cari akhirnya saya temui.
"Memang benar warna boleh menjadi penawar paling
mujarab,"
tegas Dr. Norhisham Wahab ketika saya mengajukan soalan pertama. Walaupun sukar
difahami namun sedikit sebanyak penjelasan beliau telah berjaya menyingkap
pelbagai rahsia warna yang selama ini tidak banyak diketahui umum.
Bermain dengan warna-warna alam bagi Dr. Norhisham bukan
sekadar terpesona dengan keindahannya malah warna-warna ini terutamanya yang
diperolehi dari bunga-bungaan telah berjaya menemukannya dengan formula yang
dianggap rasional dan releven berkisar tentang kehidupan seharian di dalam
Colour Vibration Therapy.
"Saya menghabiskan lebih tiga tahun untuk membuat
kajiselidik sehinggalah saya bertemu dengan formula yang benar-benar sesuai
untuk dijadikan perubatan alternatif kepada manusia. Perubatan Colour Vibration
Therapy telah melalui satu kajian yang cukup menyakinkan dengan menggunakan
konsep warna dan getaran dan telah diterima pakai dengan cukup jayanya dalam
masyarakat barat terutamanya di Jerman.
"Oleh itu saya berhasrat mendidik masyarakat di dalam
ilmu perubatan ini agar ia menjadi amalan untuk mengubati diri sendiri yang
dianggap biasa tetapi ia amat diperlukan untuk menjamin sistem penjagaan
kesihatan kekeluargaan agar lebih sempurna," katanya menerangkan tujuan dan
matlamat pembabitannya dalam bidang yang dianggap baru di negara ini.
Memang sukar untuk memahami apa yang diperkatakan oleh Dr.
Norhisham. Bercerita tentang halusinasi, kronik dan penyakit biasa yang
seringkali menjadi wabak dengan proses perawatan menggunakan warna-warna alam
semakin membingungkan. Menurutnya dengan klinik yang dibuka dia boleh mengesan
penyakit didalam tubuh manusia hanya dengan mengetahui kekuatan warna seseorang.
Ia dilakukan dengan sentuhan tangan pesakit kepada sekeping kad atau kertas
berwarna.
"Apabila anda hendak mengenali diri
anda, anda
dinasihatkan bermula dengan mengenali konsep warna dalam kehidupan. Mengenali
warna diri, sebenarnya anda akan mula mengenali personaliti anda sebenar. Anda
juga boleh mengetahui kelebihan, kekurangan, masalah kesihatan, ragam, perangai,
tingkah laku, cara berfikit, perasaan, semangat, kelakuan dan tindak tanduk anda
yang berkait rapat dengan inspirasi warna.
"Umumnya ramai menyukai warna-warna tertentu sebagai
kegemarann tetapi tanpa disedari itulah lambang warna kelemahan yang sedang
dilaluinya," kata beliau.
Berilhamkan amalan mandi bunga
Bercerita tentang pembabitannya dalam bidang Colour Vibration
Therapy, menurut Dr. Norhisham, segalanya bermula dengan tidak disengajakan.
Beliau yang berkelulusan Sains Fizik dari Universiti
Kebangsaan Malaysia berkata, tujuan awal kajiannya ialah mengenai nutritions dan
kesannya terhadap pemakanan. "Asalnya saya mula mengkaji tengang perubatan
ini bersama pakar pemakanan mengenai tabiat pemakanan herba."
"Setelah bosan dengan pengalaman rakan-rakan di dalam
bidang perubatan yang masih tidak dapat mencari kesimpulan kenapa ada penyakit
yang tidak sembuh hingga akhirnya membawa mereka kepada perubatan tradisional
terutamanya bomoh, saya akhirnya bertekad untuk melakukan kajian bersama
beberapa pakar dari Jerman," katanya.
Menurut Dr. Norhisham banyak
tenaga, masa dan wang ringgit
dihabiskan namun dia puas kerana akhirnya dia menemui sesuatu yang selama ini
tidak pernah terlintas di fikirannya.
Berilhamkan amalan mandi
bunga, Dr. Norhisham kini berjaya
mengadaptasikan amalan berkenaan kepada bentuk yang lebih moden dan sesuai untuk
semua peringkat manusia.
"Saya cari formula kaedah mandi bunga dengan cara lebih
moden dan saya berhasil. Inilah buktinya" kata Dr. Norhisham sambil
menunjukkan pati aromaterapi yang dihasilkan.
"Aromaterapi yang dibuat dari pati bunga dan pati
tumbuhan bertindak sama seperti perawatan mandi bunga yang dilakukan oleh para
dukun dan bomoh".
"Ingat lagi cerita mandi bunga dan nila yang disapu di
pipi bila kita kena beguk. Sebenarnya warna biru merupakan warna penyembuh.
Begitu juga dengan warna kuning seperti kunyit, oren dan emas. Emas itu boleh
meneutralkan asid. Sebab itu orang perempuan digalakkan memakai emas,"
ceritanya cuba menerangkan peranan warna yang tidak diketahui ramai.
"Saya juga telah berjaya mengeluarkan produk hasil dari
kombinasi formula yang dicipta untuk merawat penyakit berdasarkan warna-warna
yang ditemui dari bunga-bungaan".
"Kaedahnya mudah iaitu dengan menggunakan konsep
pengubahan tenaga dengan memerangkapnya kedalam minyak pati bunga aromaterapi
yang mudah meresap ke kulit manusia".
"Kita menggunakan kulit sebagai perantara utama kerana
kulit diakui sebagai reseptor terbaik untuk menghantar mesej ke pineal (otak).
Pineal bertindak sebagai prisma atau berlian bercahaya memecahkan getaran itu
kepada berbagai warna dengan frekuensi-frekuensi yang berbeza yang akhirnya akan
mengembalikan tubuh badan kepada keadaan normal," jelas beliau lagi.
Petiklah bunga dengan warna keseimbangan penyakit yang anda
alami
Dunia penuh dengan pencemaran. Berbagai bencana yang
memusnahkan tumbuh-tumbuhan tetapi sesuatu yang mengkagumkan dalam jangka masa
yang singkat tumbuh-tumbuhan dengan suatu kuasa yang penuh bertenaga mampu terus
hidup. Ini ialah cara semulajadi untuk mengembalikan keseimbangan.
"Itulah satu kekuatan yang ada pada tumbuh-tumbuhan yang
menjadi sumber imuniti bagi menghadapi pencemaran dan masalah alam sekitar. Jadi
saya memanafaatkan tumbuh-tumbuhan sebagai penyelesai bagi kekurangan imuniti
yang menjadi punca penyakit kepada seseorang".
"Umpamanya bunga-bunga kecil yang tumbuh meliar di
kawasan ergunungan atau tanah tinggi mempunyai getaran tenaga yang amat kuat
untuk menyesuaikan atau mengembalikan tahap spritual seseorang kembali normal.
Tenaga itu pasti mempunyai getaran di mana geteran itu ditentukan oleh warna
sebagai ukuran ketepatan bagi keperluan tenaga yang harus diganti semula".
"Tenaga Colour Vibration Therapy ini dicipta daripada
tenaga tumbuh-tumbuhan yang dimanfaatkan daripada matahari dan cahaya balikan
daripada bulan. Petiklah bunga dengan warna keseimbangan penyakit yang anda
alami. Rendamkan kedalam air untuk merakamkan tenaga yang akan dipecahkan dalam
bentuk getaran gelombang. Tenaga getaran bunga yang sudah dipindahkan ke dalam
air itu amat berkait rapat dengan misteri mandi bunga yang menjadi amalan
berbagai budaya di seluruh pelusuk dunia," katanya lagi.
Menurut beliau Colour Vibration Therapy merupakan salah satu
cabang perawatan Hameopati. Keadahnya tidak begitu rumit dan sangat praktikal.
"Saya buka peluang ini kepada semua orang termasuk surirumah dan ibu-ibu
yang mempunyai banyak masa lapang. Saya bercadang untuk melatih lebih ramai
golongan profesional dalam bidang Colour Vibration Therapy ini," tambah
beliau dengan yakin.
Berasal dari Negeri Sembilan, Dr. Norhisham kini sedang
bergerak ke seluruh negara bagi memberi ceramah dan mengadakan kelas-kelas
khusus kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengamal perubatan Colour
Vibration Therapy.
"Saya percaya satu tahap nanti masyarakat di dunia ini
tidak lagi akan merasa pelik dengan pelbagai jenis penyakit dan kaedah
perawatannya," tambahnya lagi.
|