Sejak kecil
saya sangat mesra dengan kehidupan alam semulajadi. Suasana dan kitaran alam
sering membuatkan saya berfikir tentang alam secara fizik dan metafizik.
Pelbagai persoalan menerjah dalam kotak fikiran saya - kenapa gerhana bulan
berlaku, mengapa langit bertukar tatkala senja, mengapa angin bertiup,
bagaimanakah berlakunya perubahan cuaca, dan sebagainya.
Persoalan-persoalan
ini menyebabkan saya suka menyendiri, mengelamun, dan tidak banyak bercakap.
Saya banyak menghabiskan masa berfikir. Saya kerahkan otak untuk mencari jawapan
punca berlakunya segala fenomena alam itu. Siapakah yang menggerakkannya, apakah
kaitannya dengan hidupan lain. Namun dalam usia muda dan pengalaman yang begitu
cetek, akal saya tidak dapat menjangkau rahsianya.
Pada tahun
1970, ketika saya berumur 10 tahun saya mula mendekati alam mistik. Ayah menjadi
seorang bomoh setelah meninggalkan jawatan kerajaan. Saya mula mengetahui
tentang mandi bunga, penggunaan tanah liat, beras kunyit, sirih dan sebagainya.
Saya sering mengikuti ayah ke hutan mencari bahan-bahan untuk mengubat orang
sakit. Satu hari ketika mengikutinya ke hutan saya lihat ayah mencabut sebatang
akar yang kelihatan yang amat sukar untuk dikeluarkan dari dalam tanah. Saya
hairan bagaimana ayah boleh mencabutnya dengan begitu mudah sekali. Saya berkata
kuatnya tenaga ayah. Ayah cuma menjawab, "Ayah guna tenaga keyakinan."
Katanya lagi, apabila ada keyakinan mencabut akar sebesar itu ibarat menarik
batang taugeh sahaja. Daripada situlah saya belajar erti keyakinan tanpa
keraguan.
Saya membesar
sebagai seorang pemerhati. Pekerjaan ayah sebagai bomoh melatih saya meneroka
perkara yang pelik-pelik. Pesakit datang berjumpa ayah dengan bermacam-macam
penyakit. Ada yang sakit jantung, kanser, kencing manis, serta yang mengalami
masalah mental dan halusinasi. Saya hairan bagaimana ayah merawat hanya dengan
mengibas pesakit dengan kain. Kini saya telah tahu jawapannya. Setiap penyakit
berkait dengan tahap psikologi. Kibasan kain itu memotong aliran stress dalam
badan seseorang.
Saya bukan
sahaja mengkaji benda-benda pelik, malahan saya sendiri dikatakan orang pelik
juga. Hal ini disedari ketika berumur 12 tahun. Saya pernah terjatuh daripada
bangunan setinggi 3 tinggkat. Dengan kuasa Allah Taala, tidak ada apa-apa yang
berlaku terhadap diri saya. Saya berada dalam keadaan sedar ketika badan saya
melayang kebumi. Saya juga pernah terlibat dalam satu kemalang yang dahsyat.
Mereka yang terlibat mengalami cedera parah dan ada yang meninggal dunia. Tetapi,
Alhamdulillah saya tidak mengalami apa-apa kecederaan. Semasa kemalangan itu
berlaku, saya berada dalam kedaan penuh sedar. Saya boleh ingat satu-persatu
setiap yang berlaku sehinggalah berlakunya kemalangan itu.
Deria saya
terlalu sensitif dan sering diuji. Tidur saya selalu didatangi mimpi-mimpi yang
kemudiannya cuba saya tafsirkan sendiri. Saya dapatkan rasakan, jika sebelum
tidur saya tidak mandi atau sekurang-kurangnya membasuh kaki, alamatnya saya
akan bermimpi sesuatu yang ngeri seperti jatuh ke dalam gaung. Kadang-kadang
saya boleh nampak dan dengar apa yang orang lain tidak boleh. Sebab itulah orang
tua kata saya ganjil.
Beralih kepada
pendidikan, saya mendapat pendidikan awal di Kuala Lumpur, tempat kelahiran saya
sendiri. Ketika masuk ke tingkatan satu, saya bersekolah di Sekolah Menengah
Aminuddin Baki. Sebaik tamat tingkatan enam, saya ke Eropah dan bekerja di
sebuah syarikat yang banyak membuat kajian dalam bidang elektromagnetik. Saya
kira inilah langkah terbaik saya kerana saya benar-benar ingin tahu tentang
kuasa alam semulajadi terhadap kehidupan, khususnya manusia. Saya bekerja sambil
belajar di syarikat itu. Selama lapan tahun saya berusaha menyiapkan tesis
tentang frekuensi bunyi yang membentuk getaran untuk mengimbangi sel dalam badan.
Pada tahun 1994, saya ke Sri Lanka mengambil Ph.D di Open International
University dalam bidang ini.
Dari kecil
sampai besar, saya banyak menimba ilmu secara tidak formal. Setelah dewasa
jawapan kepada pencarian saya terserlah jelas apabila saya temui ilmu yang saya
gali selama ini sebenarnya sudah ada dalam Al-Quran dan Hadis. Kedua-dua sumber
ini banyak membantu dan memberi jawapan kepada persoalan yang berlegar-legar
dalam fikiran saya tentang rahsia alam. Begitu juga dengan keterangan-keterangan
dalam Hadis seperti khasiat Habbatus Sauda yang dikatakan berupaya menyembuhkan
pelbagai jenis penyakit kerana khasiatnya yang banyak.
Bagi saya, ilmu yang saya
miliki ini merupakan anugerah Allah. Saya sering mengaitkanya dengan agama.
Mengikut kajian orang yang tidak banyak bercakap dan lebih banyak diam adalah
lebih baik kerana ini menstabilkan emosi. Hal ini sememangnya dianjurkan dalam
agama Islam. Oleh itu, saya menasihatkan remaja sekelian agar memanfaatkan
kelebihan yang ada pada diri kita semaksima mungkin dan gunakan kelebihan yang
ada itu untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.