Berita Minggu, Ahad, 3 September 2000
Ruangan Perspektif Perubatan
CVT SINGKAP RAHSIA PENYAKIT Oleh Dr Norhisham Wahab
Setiap penyakit ada penawarnya kerana ia
ketentuan Ilahi manakala manusia pula perlu mengkaji dan memehami ketetapan dan
peraturan-Nya untuk menyingkap setiap rahsia. Percayakah anda ubat atau penawar
sudah ada atau wujud dalam tubuh anda sendiri.
Rahsia penawar sesuatu penyakit itu berpunca
daripada apa yang dilihat, dengar, fikir dan rasa iaitu melalui perbuatan mahu
pun amalan. Itulah racun dan itulah juga penawarnya.
Penemuan saintis dalam pelbagai bidang
sebenarnya diasaskan saintis Islam pada zaman kegemilangan Islam lagi. Penemuan
dalam bidang perubatan seperti fizik, kimia, biologi dan matematik diperkemaskan
olih saintis Barat sehingga mampu mencipta perubatan canggih ketika ini.
Bagaimanapun, penemuan itu hanya membabitkan
pengaruh luaran walhal sesuatu perubatan itu menjadi lengkap apabila ia
membabitkan kedua-dua pengaruh luaran dan dalaman.
Saya temui teknologi rawatan terbaru dan
pertama di dunia, sebagai rawatan pelengkap terhadap perubatan moden yang sedia
ada. Kajian asas secara perubatan terapi getaran warna (CVT) ini membongkar
pelbagai rahsia ketetapan dan peraturan hukum alam. Ketetapan dan peraturan ini
berkait rapat dengan unsur kejadian (hakikat) angin, api, air dan tanah yang
bermula dari cakerawala sehingga ke bawah (bumi) dan kejadian manusia.
Dari istilah sains kimia keempat-empat unsur
itu dikenali sebagai nitrogen, oksigen, hidrogen dan karbon manakala dari
istilah fiziks dikenali sebagai cahaya, haba, kimia dan magnet. CVT mengkaji
keempat-empat unsur tadi mengenai kedudukannya daripada cakerawala sehingga
kebumi dari perspektif kimia dan fiziks yang tiada batasannya.
Segalanya dicipta oleh Pencipta alam ini
dengan nilai susunan yang sangat halus lagi unik dan sukar untuk difahami oleh
akal logik manusia kerana setiap suatu ciptaan itu mempunyai pengertian
tersendiri. Ciptaan Allah ini disusuli dengan ketetapan dan peraturanNya. Jika
berlaku sesuatu pencerobohan maka berlaku juga iktibarnya iaitu bencana atau
penyakit sama ada kepada alam mahu pun kepada manusia.
Terlalu banyak berfikir tetapi masih juga
berakhir dengan kekeliruan sebab penggunaan tenaga yang melebihi had yang
menyebabkan organ dalam tubuh tidak lagi dapat menjalankan fungsinya untuk
memproses zat makanan. Akibatnya makanan yang gagal diproses dengan sempurna
menjadi racun yang akan membuatkan anda bertambah risau.
Rahsia mandian pati bunga Seri Wajah
Dari sudut konsep dan prinsipnya terdapat hubungan
berikut di antara alam dan manusia. Alam adalah pengaruh luaran dan manusia itu
sendiri adalah pengaruh dalaman manakala yang memegang kunci pengimbang ialah
deria atau pancaindera. Derialah yang menjadi penganalisis maklumat tenaga yang
masuk dan keluar daripada tubuh.
Deria ialah pengimbang yang
cekap, terutamanya
bulu roma. Kecekapan deria ini sebagai reseptor boleh dipastikan jika bulu roma
atau kulit kita selalu basah dan tidak terdedah kepada udara kotor atau cahaya
matahari yang keterlaluan. Dengan mengambil wuduk lima kali sehari sudah cukup
untuk membuktikan Islam itu amat saintifik bagi menghormati rahsia keajaiban
air.
Seri Wajah mengandungi pati bunga yang
ditambah dengan getaran tenaga gelombang tinggi. Kita tidak perlu memilih dan
memetik bunga untuk tujuan mandi bunga kerana masyarakat kita tidak diajar
mengenali jenis bunga yang menjadi penawar atau pun sebaliknya. Tambahan pula,
waktu dan cara memetik bunga juga perlu diketahui jika tidak getaran bunga itu
berpindah bentuk dan tidak asli lagi. Umpamanya, kelopak bunga yang ganjil
dengan warna penyakit, perlu disesuaikan untuk tidak mencernakan warna aura
persekitaran tubuh yang sudah stabil. Kesilapan dalam penggunaan jenis dan warna
bunga boleh membawa mudarat yang amat merugikan.
Penggunaan Seri Wajah yang konsisten mampu
melegakan pelbagai masalah spiritual, emosi dan mental. Gelombang frekuensi
tinggi yang amat laju yang terdapat dalam esen Seri Wajah ini membolehkan ia
menstabil dan menjalankan fungsi organ dalaman ke tahap asal. Rasionalnya ialah
penyakit kronik yang membabitkan kegagalan fungsi organ dapat dibina semula
walaupun ia mengalami kerosakan tisu seperti kanser. Mandian dengan Seri Wajah
pula akan menjana semula isyarat atau komunikasi tubuh secara dua hala iaitu
perhubungan sistem endokrin dan sistem saraf.
Tahukah anda tubuh manusia juga memendam
getaran dan tenaga warna? Untuk mengetahuinya, ikuti sambungan bahagian ini
minggu depan.